Rabu, 4 Julai 2012

MENGHAYATI NISFU SYAABAN

 Malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban adala satu malam yang sunat dirayakan dalam syariat Islam kerana ia merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.

 Keagungan malamnya dengan malam Nisfu Syaaban adalah sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya dan keagungan Ramadhan dengan malam lailatulqadarnya. Maka pada malam Nisfu Syaaban telah datang Jibrail kepada Rasulullah S.A.W. lalu berkata: "Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang dibukakan pintu langit."

Di dalam kitab Iq'na juga telah dinyatakan bahawa Jibrail bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibrail kepada Rasullullah S.A.W. kali keduanya, dan berkata: Ya Muhammad, gembirakanlah kamu bahawa Allah Taala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tiada mengsekutukanNya sesuatu, angkatkan kepalamu. Rasullullah pun mengangkatkan kepalanya tiba-tiba terbuka segala pintu Syurga.

 Dalam riwayat yang lain pula dinyatakan terbuka segala pintu langit.
Pada pintu langit pertama Malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang rukuk pada malam ini.
 Pada pintu langit yang kedua Malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang sujud pada malam ini.
 Pada pintu langit yang ketiga Malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang minta doa pada malam ini.
 Pada pintu langit yang keempat Malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang berzikir pada malam ini.
 Pada pintu langit yang kelima Malaikat meyeru kemenangan bagi orang yang menangis kerana takutkan Allah pada malam ini. 
 Pada pintu langit yang keenam Malaikat meyeru kemenangan bagi orang yang mengerjakan amal kebajikan pada malam ini.
 Pada pintu langit yang ketujuh Malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang meminta, maka dikurniakan permintaannya itu.
Dan pada langit yang kelapan Malaikat menyeru: Adakah orang yang meminta ampun maka diampunkan baginya? 

Aku bertanya pada Jibrail, sampai bilakah terbukanya semua pintu ini (diterima doanya) ? Maka jawab Jibrail: Sehingga naik fajar subuh. Dan katanya lagi, pada
malam ini dimerdekakan hambaNya yang Mukmin lelaki dan perempuan dari api neraka sebanyak bulu kambing Bani Kilab. (Bani Kilab di antara orang-orang Arab yang banyak memelihara kambing).

 Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Allah menilik kepada hambaNya pada malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala maklukNya melainkan orang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya."

 Sabdanya lagi: "Apabila pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang, dan puasa kamu pada siangnya."

Allah S.W.T pula telah berfirman: "Adakah orang yang meminta ampun Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala Aku afiatkannya, adakah orang yang meminta rezeki maka Aku rezekikannya. Demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh."

Tersebut dalam kitab Al-Baroka bahawa jin, burung, binatang-binatang buas, ikan di laut berpuasa pada hari Nisfu Syaaban.

 Amalan pada malam Nisfu Syaaban
 

 Malam nisfu Syaaban ini perlu dihidupkan dengan membaca Surah Yaasiin tiga kali selepas sembahyang fardhu Maghrib. Dan setiap kali lepas membaca Yaasiin akan dibaca doa.
 * Pada bacaan Yaasiin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur;
 * Bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan dari bala; dan
 * Bacaan ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal.
 * Cara lain ialah menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berzikir dan membaca Al Quran beramai-ramai.


 Doa Malam Nisfu Syaaban.
  Ya Allah Ya Tuhan yang empunya kurniaan, dan tiada siapa mengurniakan kepada-Nya, ya Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran, ya Tuhan yang empunya kurniaan, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud ini melainkan Tuhan hamba sahaja, tempat sandaran hamba-hamba Tuhan yang memohon perlindungan, dan tempat perlindungan hamba-hamba Tuhan, yang mohon keselamatan, dan tempat keselamatan hamba-hamba Tuhan yang di dalam ketakutan. Kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz, akan seorang yang celaka, maka hamba mohon akan hapuskan daripada hamba nama kecelakaan itu, dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba akan seorang yang berbahagia. Dan kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz akan seorang yang ditegah dari kebajikan, dan seorang
yang disempitkan rezeki hamba, maka hamba mohon hapuskan tegahan itu daripada hamba, dan mudahkan rezeki hamba, dan hamba mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba, akan seorang yang berbahagia dan seorang yang ditaufikkan dengan kebajikan kerana bahawasanya Tuhan hamba telah berfirman dalam
kitab yang telah Tuhan hamba turunkan (Al Quran) maksudnya: "Allah Taala menghapuskan apa yang Dia hendak hapuskan, dan Dia tetapkan apa yang Dia hendak tetapkan dalam suatu kitab dan di sisinya Loh Mahfudz."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan